AC Mizal urus bisnes RM200j

MENGACARA sebuah program gah seperti Akademi Fantasia (AF) menjadi impian setiap pengacara di negara ini kerana ia sebuah program yang dilihat mampu memberikan impak luar biasa kepada kerjaya seseorang pengacara yakni meletakkan mereka ke tahap lebih disegani.
Akui Mizal Zaini, 39, atau lebih dikenali sebagai AC Mizal, dia berbangga kerana pernah diberi kesempatan mengacara program berkenaan untuk musim keenam dan ketujuh, sekali gus melakar sejarah sebagai pengacara kedua program itu selepas Aznil Hj Nawawi.
Justeru, tiada sedikitpun perasaan terkilan apabila terpaksa meninggalkan program itu pada musim ini serta menarik diri dari mengacara AF8 yang bakal bersiaran Mac nanti kerana impian berada di pentas AF sudah tercapai.
AC berkata, keputusan menarik diri daripada AF8 kerana keterbatasan waktu bagi memberi tumpuan terhadap syarikat AC Consortium yang baru beroperasi tiga bulan lalu dengan dana kira-kira RM200 juta!
“Meninggalkan AF nyata bukan satu keputusan yang mudah. Terus-terang saya sedih kerana terpaksa melakukannya namun saya sedar saya tidak mampu memberikan sepenuh komitmen terhadap AF tahun ini kerana terikat dengan tanggungjawab yang lebih besar iaitu perniagaan AC Consotium.
“Pun begitu saya berbangga kerana sekurang-kurangnya dapat juga merasa mengendalikan program realiti hiburan paling popular itu sebanyak dua kali.
“Saya turut berasa lega kerana akhirnya dapat menjelaskan alasan kenapa terpaksa menolak tawaran mengacarakan AF8 kepada pihak Astro. Tambah mengejutkan pihak AESB (Astro Entertainment Sdn Bhd) memahami dan memberi galakan kepada saya meneruskan perniagaan yang saya lakukan,” katanya.
Pada sidang media yang diaturkan AESB pada Rabu lalu, AC membuat pengumuman secara rasmi meninggalkan AF bagi memberi tumpuan kepada bidang perniagaan.
Pengakuan itu bersaksikan Pengarah Eksekutif Astro, Zainir Aminullah yang turut dihadiri Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi.
AC juga bekas kumpulan 4U2C menambah, sudah sampai masanya dia menggunakan populariti serta kemampuannya bagi membantu orang ramai yang menjadi ahli kepada syarikat konsortiumnya yang sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu.
“Saya tak mahu berpura-pura bahawa saya mampu membuat semua perkara dalam satu masa. Apatah lagi, komitmen sekarang ini sudah semakin besar.
“Saya berharap dengan perniagaan ini saya dapat membantu orang ramai orang khususnya golongan kurang berkemampuan.
“Selama 20 tahun berada dalam industri, hampir semua saya berjaya dapatkan.
“Justeru itu, sejak dulu lagi saya bercita-cita mahu berbakti semula kepada peminat dan kini sudah tiba masanya saya berkongsi dengan orang ramai di luar sana yang ingin menjana pendapat,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai AC Consortium yang beroperasi tiga bulan lalu, dia memperoleh dana sebanyak RM200 juta daripada Arastu Sdn Bhd untuk menguruskan perniagaan berkenaan.
“Tiga bulan beroperasi perniagaan ini sudah pun berjaya memasuki pasaran di Indonesia, Guangzhou, Macau dan Insya-Allah tidak lama lagi di Australia dan United Kingdom (UK).
“Meskipun setiap hari jadual saya dipenuhi dengan segala macam perbincangan mahupun seminar namun itu bukan bererti saya akan bersara daripada dunia hiburan.
“Dunia hiburan sudah sebati dan kerana ia tidak boleh dipisahkan dalam diri saya. Karier saya sebagai artis tetap akan diteruskan,” katanya.
Bagi semua peminat setiap peminat AF, Astro akan membuat pengumuman barisan pengacara, tenaga pengajar dan pengetua Akademi Fantasia di Hotel Hilton Kuala Lumpur 7.30 malam ini.
* (Sumber:Harian Metro/Oleh Norhadiani Baharom)
No comments:
Post a Comment